Isu Semasa :
Tinta Tualang »
Kongsi dengan teman!

Misteri Pembunuhan di KCT (awal tahun 60an)

Penulis : Tok Dalang on Wednesday, 7 January 2015 | 21:29

Wednesday, 7 January 2015

Saya tak tahu sangat maklumat penuh & lokasi kejadian tetapi kejadian tragis ini sering saya dengar jadi bualan orang tua-tua dahulu. Mungkin ada yang tahu cerita sebenar & boleh betulkan maklumat ini; mungkin ada yang ditambah-tambah atau mungkin ada yang kurang.

Sharifah & Udin (bukan nama sebenar) sentiasa berulang sekolah bersaing naik basikal ke simpang Kota Bharu. Mereka sekolah menengah di Gopeng. KCT sejak berzaman hanya ada sekolah rendah SKCT. Malahan nak ujian penilaian darjah lima pun terpaksa ke Sekolah Kebangsaan Kota Bharu.

Ada dua jalan pilihan nak pergi ke Kota Bharu; satu jalan ikut estet getah; agak sunyi tak ada barang sebuah rumah orang pun sekitar jalan jarak 2 batu ini. Sebahagian estet getah & sebahagian hanyalah hutan belukar. Jalan ini jarang dilalui orang berbasikal sebab sunyi & agak jauh. Jika Sharifah & Udin berulang pagi-pagi bersama mereka beranilah ikut jalan ini dan basikal disimpan di rumah orang Kampung Tengah tak jauh dari simpang tiga jalan ke Kota Bharu. Dari sini barulah ada bas sekolah untuk sekolah di Gopeng.
Satu lagi jalan pilihan agak ngeri kena lalu titian usang hanya papan lebar dua keping bawahnya paya lama memang dalam; tapi airnya jernih banyak mengkuang, bakung serta orkid liar. Jalan ini jalan pintas akan lalu rumah kongsi Sanglop Estet. Ramai yang terjatuh dari titi ini & terjun dalam paya habis dicucuk duri mengkuang. Tak dapat bayangkan bagaimana nak naik semula ke darat.

Nak jadi tragedi pada satu hari; dalam suasana masih terang-terang tanah Sharifah agak lewat bangun & terpaksa pergi sekolah sendirian; keluarganya pun tak tahu dia tak berteman sebab Udin selalunya tunggu dia pertengahan jalan untuk pergi bersama-sama tunggu bas di simpang untuk ke sekolah.

Bila petang hebohlah keluarga Sharifah dia tak pulang-pulang bila ditanya dengan Udin memang dia tak bersama berbasikal ketika pagi tadi.

Berkumpullah satu kampung mencari sekitar jalan ke simpang Kota Bharu yang sejauh dua batu itu. Basikal Sharifah memang tiada di Kampung Tengah. Pencarian ini sampai sekitar dua minggu tak berjaya dikesan; ke manakah menghilang Sharifah. Pelbagai usaha & ikhtiar untuk menemui Sharifah; ada yang kata dia lari dengan kekasih dia; ada yang berandaian disorok orang bunian. Lain bomoh lainlah firasatnya.

Akhirnya berita gempar mengejutkan KCT; mayat Sharifah ditemui di belukar berdekatan dengan estet getah. Di mana India yang memotong/menoreh di situ terhidu bau busuk yang amat sangat. Basikal & pakaian Sharifah yang menjadi bukti mayat itu memang Sharifah. Yang menjadi misteri; kononnya semua anggota badan Sharifah yang berpasangan hilang sebelah; mata; telinga; jari tangan dan lain-lain. Macam satu pemujaan. (Benarkan keadaan jenazah sebegini atau sekadar ditokok tambah orang tua-tua?)

Jenazah Sharifah sudah berulat; bila diangkat bertaburan ulatnya ke tanah. Terpaksa dipapah dengan tikar. Kes ini tak dibuat post mortem sebab permintaan keluarga arwah; tak sanggup mayatnya yang dibunuh secara siksa akan terus tersiksa. Saya tak pasti apakah penjenayah/pembunuh ini dapat ditangkap.

Ada yang berceritera: jenazah Sharifah terpaksa dimandikan di Sungai Nin sebelum dibawa pulang & dikebumikan di Kubur Pedas.

(Estet getah ini sekarang telah menjadi estet kelapa sawit; mungkin kalangan waris Si Mangsa atau orang tua-tua yang masih ada tahu cerita sebenar pun lokasi sebenar kejadian ini)

Penulis : Idan Radzi
comments | | Read More...

MERUNGKAI KAMPUNG YANG TERGADAI

Didahului dengan ucapan terima kasih kapada Alahyarham Ayahanda Mohd Ali bin Rahmat yang telah meninggalkan sabuah karya agung bagi penulis dalam catatanya di lambaran yang  sepi mengenai koronologi kehilangan sabuah kampong yang indah. Meminjam kata penulis salasilah KCT Kekanda Azali Hj. Idris “ Hening terasa mendakap kalbu. Indah sungguh kampungku”. Tanpa catatan beliau pupuslah segala sejarah kampong yang tergadai tertambus bersama Sungai Teman. Sungai yang menjadi sumber tangkapan ikan kaloi,sepat siam, teroboi, lampam,haruan, keli dan temakang. Sepat Ronggeng hilang tarinya. Teratai layu di tasik pilu. Tiada lagi orkid ungu  dan orkid putih mengintai dicelah pelepah bakung.
Bermula pada tahun 1966 ketika penulis kesejukan mandi pagi, disisip ibu dicelahan seluar menarik baju yang londeh untuk mula mengenal angka dan huruf masuk darjah satu. Sabuah Syarikat Tanah Dan Galian Melayu Teja Limited mengatur langkah memujuk rayu oaring kampong untuk menjual tanah pusaka. Wujudlah Broker dari orang orang kampong kita juga. Menabur janji manis kononya bagi menaiktaraf kehidupan orang kampong yang miskin harta tetapi kaya budi bahasa dan gurau senda. Salain dari syarikat ini terdapat dua lagi syarikat yang bergabung sama adalah Pemodal Konzin Rintinto tauke Chong Kok Lim (Bakap)  yang membina empayar di Sungai Wang Plaza dan Syarikat Matin Mines tauke Chin Pek Su yang membina empayar di Bukit Bintang. Sorang lagi tauke lombong yang cuma ada palung dan tidak berbijih di Kampung Saberang, Mail Mahyuddin orang Tambun. Pak Enda dan Pak Sam tertipu bagi tanah untung tiada cukai tanah kena bayar juga,
Pasaran harga tanah dimasa itu dibeli dari orang kampong rm4000.00 saekar. Sawaktu tukar milik tanah pemilik diwajibkan membeli saham  dalam Syarikat Teja rm1000.00 bagi satu ekar. Nilai pasaran harga sabenar adalah rm7000.00. Pihak broker mampu perolihi keuntungan antara rm3000.00 ka rm4000.00. Contoh rm3000.00 dia serah pada penjual tanah rm1000.00 duit saham masuk poket dia juga. Jikalau orang tidak beli saham dia dapat rm3000.00. Jumlah ekar yang berjaya di beli tidak dapat dikenalpasti. Cuma broker yang tahu yang telah hidup mewah di Mahligai yang indah (meminjam kata Idan Radzi yang tanah apaknya di Paya Asap turut lesap).
Samasa urusniaga antara broker dan orang kampong tidak mengira tempat . Di atas gerotak sungai keruh(titi/jambatan) pun bolih dibuat. Tengah malam pun datang memujuk rayu sampai terlupa bawa dakwat cap jari. Penyudahnya arang bontot kuali pun bolih digunapakai untuk ambil cap jari. Penjualan pula ada perjanjian tanpa peguam cara yang dikenali. Sekiranya penjual tanah ingin menebus kembali tanah yang tidak dilombong mesti ambil balik semua jumlah ekar yang tercatit dalam geran. Tebus sedikit tidak dibenarkan dan mesti membayar balik nilai harga samasa penjualan berjumlah rm7000.00 saekar. Bagi pemegang saham dalam Syarikat Teja bolih menjualkan saham kapada syarikat. Disinilah silap mata syarikat dan broker. Contoh kalau ada 10 ekar, saham rm10,000.00 hendak tebus balik rm70,000.00. Tiada siapa yang mampu.
Dalam perjanjian awal tiap tiap satu unit palung yang diusahakan Syarikat Martin Mines, Syarikat Teja akan menerima rm 1000.00 bagi satiap bulan. Dinyatakan kata Ayahanda Mohd Ali “ malang seribu kali malang kerana orang kampong jahil dalam hal perlombongan, kononya Syarikat Teja mempunyai hutang bertimbun angka hampir sejuta”. Satiap tahun Mesyuarat Agung syarikat yang sapatutnya diadakan di Mukim Teja telah dibuat di Kuala Lumpur. Orang kampong yang memiliki saham yang sedikit (1/100 dari harta Datuk dan Nenek) tidak mendapat layanan yang istimewa dari pihak syarikat . Sesiapa yang banyak saham bolih menjadi  Ahli Lembaga Pengarah.Bagi mereka yang mempunyai saham sedikit disebut main angin sajalah.
Orang kampong diberitahu kononya tanah ini bukan dijual sabaliknya dibuat gadaian bagi mendapatkan pinjaman dari Bank Negara. Pihak yang membayar balik pinjaman adalah Syarikat Teja. Disebabkan pinjaman ini dari tahun 1966 hingga 1994 bagi mereka yang memiliki saham dalam Syarikat Teja tidak mendapat keuntungan walaupun sabanyak setengah sen. Dalam tahun 1996 cuma tinggal satu Syarikat yang aktif melombong dengan carigali tanah tanah yang belum diambil alih Syarikat Teja. Pihak syarikat terpaksa membayar gantirugi kapada syarikat berkenaan jikalau lombong tidak dapat dibuat. Sahingga catatan Ayahda Mohd Ali ditulis, tiada lagi aktiviti aktif perlombongan di Kampung Changkat Tualang.
Ketika aktiviti melombong rancak berjalan taraf hidup yang sempurna cuma sementara. Haji Soba sempat buka gerai makan di Nongkak Pak Abu Bakri satahun dua. Ramai orang kampong yang kerja buruh lombong dan pembantu kapala. Pak Bedul Rashid pernah jadi tukang masak di Kongsi lombong. Gaji yang dibayar Rm 1.80 satu Kong. Hebat sikit jadi Jaga Lombong. Maka muncul lah combat combat tua di penghujung senja, naik Vespa dan Honda C65 dengan senapang disandang bahu (ayah penulis Pak Tam, Pak Leman, Pak Derani, Pak Asin, Pak Bedul, Pak Hassan Kancil, Pak Din Sanggam, Pak Angah Harun, Tok Uda dan Nyah Hussin Hj. Mamat). Gaji diterima dalam kategori kerja dinyatakan, sakitar rm:120.00 hingga rm:180.00
Dalam waktu yang sama orang kampong tetua dan yang meningkat remaja digelar perompak di tanah sendiri.Pak Pak saudara yang jadi jaga setia pada tugas sanggup menembak anak buah sendiri. Mendulang bijih silih berganti tidak pernah ambil cuti dan yang masih bersekolah sanggup berhenti (ayat power masa itu “ buat ape abg Ed g sekolah…bukan dapat bawak beras balik”. Ini ayat dari budak Wet anak Pak Man Kedai masa dia darjah lima.
Bangsa lain di Kota Baharu berpandangan jauh. Ada lombong ada bijih, orang kampong akan mendulang. Pasir lombong akan bertimbun. Lombong terbiar akan menjadi tasik.Mereka buka kedai membeli bijih. Apabila amang lebih banyak dari bijih baru Cikgu Mastor Kaamin ambil alih. Aktiviti lombong tamat pasir lombong jadi idaman, bukit senyum habis di tarah. Lombong terbiar menjadi taman itik dan pelihara talipia dan tongsan. Orang kampong hampiri nak di tembak dan dikejar sampai pengsan.
Masa terus berlalu, kampong tidak saindah dulu. Tanah Paya Asap (milik Pak Mat Sesh)menangis pilu. Sungai Teman membisu tiada kocak air kayuhan sampan Pak Barom merentang jaring. Tanah di Lesen meratap hiba lombong terbiar di bubuh tuba. Tanah di Darat (arwah Tok penulis yang punya) menjadi tasik yang sepi. Tanah di Hulu menagih simpati , dilombong separuh mati. Tanah di Baruh Paya Gerongang  mengamit pulang. Tanah paya bakung di Changkat Keling menjadi danau yang menyambut rindu kepulangan anak diperantauan. Bukit senyum menangis siksa, pasir di tarah tidak tentu hala. Kubur Pedas menyaksikan segala pada yang berduka.
Penduduk kampong yang dihulu telah berpindah dikawasan pasir tapak tanah lombong Changkat Keling. Sakiranya mereka mahukan hak milik dibekas tapak lombong ini perlu membayar nilai harga tanah mengikut harga semasa. Lebih kurang 3 ekar tanah dihadapan Masjid di beri percuma olih Syarikat Teja bagi pemindahan orang kampong yang di Darat.Mereka ini beruntung kerana dapat duduk di atas tanah yang asal. Setakat ini tiada siapa yang bersuara dan memberi pendapat kenapa mereka duduk percuma sedangkan yang tinggal dibekas tapak lombong perlu membayar.
Tanah arwah ayah penulis berhampiran Masjid dan tanah di sekelilingnya difahamkan masih ada geran yang diberi judul GERAN 21 dan merupakan sabahagian tanah asal yang bersambung dengan tanah depan Masjid hingga ka pokok Rambung. Mengikut perkiraan awal Pejabat Tanah tidak termasuk hak Syarikat Tanah Dan Galian Melayu Teja Limited masih terdapat 60 ekar lagi tanah yang tingal di Kampung Changkat Tualang.
Pada masa catatan Ayahanda Mohd Ali ditulis, segala kemudahan insfrafuktur dan kemudahan asas telah dinikmati olih penduduk kampong yang setia saperti Orkid Ungu di celah pelepah bakong dan keikhlasan Orkid  putih tetap berseri mengungjungi Kampung Changkat Tualang menjelang Aidilfitri.
comments (4) | | Read More...

ANAK TUALANG PERDANA MENTERI MALAYSIA PERTAMA???

Apakah pernyataan tajuk di atas satu lamunan di siang hari atau menggarut semata-mata?  Tetapi sepastinya tidak gitu – ia hanya satu realiti yang tidak kesampaian  - tidak diizinkan Allah SWT kerana mungkin mengandungi  hikmah yang tersurat. Bagi anak Tualang dari generasi Y & Z nama Dr. Burhanuddin satu yang pasti asing – malah bagi kelahiran generasi X seperti penulis sendiri nama insan yang hebat ni agak samar – antara tau dan tak tau saja. Memang tepat apa yang diperkatakan oleh beberapa artikel dalam media maya  bahawa Dr. Burhanudin Al-Helmy ialah seorang pejuang kemerdekaan yang dilupakan.
Siapakah Dr. B ini? Kerana kehebatan yang ada padanya, telah banyak penulisan mengenai biografi beliau dihasilkan, maka tak perlu penulis mencari bahan. Di bawah ini saya paparkan salah satu dari biografi tersebut: Nama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Pak Doktor ini berasal daripada keturunan ulama dan sufi dari Sumatra yang berhijrah ke Tanah Melayu pada 1908 ketika berusia 18 tahun. Bapanya, Haji Muhammad Noor, adalah seorang alim dari Batu Sangkar, Tanah Datar, Minangkabau yang mengajar tasawuf dan mengusahakan ladang tani. Beliau pernah berguru dengan Sheikh Mohammad Khatib al-Minangkabawi dan beberapa pemuka agama di Mekah. Ibunya Sharifah Zahrah Habib Osman adalah wanita Melaka daripada suku peranakan Arab-Melayu. Mereka bertemu di Perak setelah Haji Muhammad Noor kembali dari menunaikan haji.”
Sedikit ulasan dari penulis: Ibu beliau adalah dari jurai individu yang membuka kampong kita. Maksudnya datok Dr. B dari sebelah ibunya adalah seorang dari enam anak beranak yang terlibat meneroka membuka kampong kita, iaitu 5 orang anak moyang Endin (termasuk bapa kepada bonda Dr. B) dan seorang menantu beliau. Di antara lima orang adik beradik tersebut , hanya datuk Dr. B memakai nama “Habib”. (Rujuk penulisan sejarah pembukaan kampong oleh Azali Idris dalam makalah ini).
Itulah asal usul Dr. B – sahih orang kita! sah darah kita! Apakah pula kehebatan beliau yang nak kita agung-agungkan? Sekali lagi saya sorot pembaca kepada penulisan oleh ‘orang luar’. Jadi teman taklah angkat bakul orang kampong dan waris sendiri – itu tak aci.

PENDIDIKAN
Dr. B mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Behrang Ulu dan kemudian di Bakap sehingga darjah tiga. Pada sebelah petangnya, Dr. B mengikuti kelas al-Quran dan agama. Pada waktu lapang, Dr. B belajar ilmu perubatan Melayu seperti jampi-jampi dan mantera daripada seorang datuk saudaranya. Dr. B dikatakan menyalin bahan-bahan ramuan untuk ubatan-ubatan Melayu itu.
Selepas bersekolah di Bakap, beliau berpindah pula ke sekolah di Kota Bahru (Perak) dan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan dengan menerbitkan akhbar mingguan iaitu Berita Minggu yang menyiarkan berita berita di dalam dan di sekitar kampungnya.
Pada tahun 1924, setelah tamat sekolah Melayu, Dr. B dihantar oleh bapanya ke Sungai Jambu, Sumatera untuk mendapatkan pendidikan Islam. Beliau hanya belajar selama 6 bulan di sana kerana tidak setuju dengan cara pendidikan yang dijalankan di sekolah agama itu. Sistem menadah tangan dan menghafal kitab yang sama tidak disukai oleh Dr. B.  Beliau menyambung pelajaran di  Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan hanya dapat bertahan sebulan sebelum bertukar ke Madrasah al-Masyhur al- Islamiyyah, Pulau Pinang pada 1927.  Di sini, Dr. B belajar sehingga tamat Thanawi (menengah atas) pada tahun 1934.
Dr. B kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh hartawan India Islam di Pulau Pinang untuk melawat dan meneruskan pengajian di India. Dr. B merupakan anak Tualang pertama, dan entah-entah anak Melayu pertama mendapat ijazah kedoktoran (Ph.D)  dalam bidang falsafah dan sastera dari Aligarh Muslim University, India. Semasa di sana, Dr. B sempat belajar bidang homeopati di Ismailiah Medical College sehingga memperoleh ijazah. Beliau juga mendapat kelulusan Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London secara ijazah luar kampus. Dr. B turut dianugerahkan Ijazah kehormat “Doctor of Divinity” daripada International Academy Canada, kerana penglibatan luas beliau dalam bidang perubatan homeopati.
Dari segi kebolehan bertutur, Dr. B menguasai dan fasih bercakap 7 bahasa besar dunia: Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman, di samping Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sendiri. Malah, beliau juga seorang ahli tafsir al-Quran dan al-Hadis yang ulung dan menguasai nahu saraf dan segala yang berhubung dengan sastera Arab.

PERJALANAN KERJAYA
Sekembalinya dari belajar di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin kembali bertugas sebagai guru Bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Aljunied, Singapura. Sempat menjadi Penasihat Hal Ehwal Islam & Adat Istiadat Melayu ketika pendudukan Jepun dari 1942-45. Beliau turut menawarkan khidmat perubatan homeopati di dua cawangan kliniknya, di Johor Bharu dan di Jalan Picitan, Singapura yang dibina dengan bantuan seorang doktor India, Dr N. Rajah. Itu saja yang penulis dapat catatkan bagi diari kerjaya Dr. B kerana lakaran periode kerjaya beliau ringkas sekali apabila terjun ke arena perjuangan politik tanah air mulai 1945. 

PENGLIBATAN POLITIK dan PEJUANG BANGSA
Penglibatan awal politik Dr. B adalah dalam Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945, yang digalakkan oleh pihak Jepun. Melalui KRIS, Dr. B dan Ibrahim Yaakob ingin membawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia apabila Jepun berundur nanti. Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara brahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Dr. B apabila rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal. Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr. B Jika usaha ini berjaya kita mungkin dapat membayangkan Dr. Burhanuddin al-Helmy akan menjadi Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, seorang pemimpin yang menggabung jalinan semangat kemelayuan, nasionalis tulen dan semangat keislaman.
Apabila rakannya (Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussein dll)  menubuh  Kesatuan Melayu Muda (KMM) untuk menentang pendudukan British dan Jepun, Dr. B turut menyertai dan memimpin gerakan tersebut.  KMM adalah parti politik Melayu yang pertama yang bercita-cita memperjuangkan kemerdekaan di atas prinsip perpaduan aliran nasionalis, agama dan sosialis. Dr. B kemudiannya bersama-sama Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhamad (Pak Sako) dan lain-lain menubuhkan PKMM yang merupakan sebuah parti progresif kesinambungan dari KMM yang juga berpegang pada prinsip yang sama.
Demi perjuangan yang terbentang dihadapannya, Dr. B telah membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada tahun 1947. Gabungan badan-badan politik Melayu progresif ini telah membentuk front persatuan dengan AMCJA. Gabungan badan progresif Melayu dan bukan-Melayu ini menjadi satu front persatuan bersifat nasional yang kuat dan julung-julung kali berlaku dalam sejarah tanah air. Akan tetapi, kerana perkembangan kekuatan patriotik-demokratik ini telah memberi ancaman hebat ke atas kekuasaan penjajah, ia telah diharamkan oleh British dalam Undang-undang Darurat.
Pada tahun 1955, Dr. B adalah antara tulang belakang dalam penubuhan Partai Rakyat Malaya (PRM). Setahun kemudian, pada 1956, beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga menggantikan Dato' Dr Haji Abbas Alias.  Pada Pilihan Raya Umum 1959, Dr. B telah memenangi Kerusi Parlimen Besut, Terengganu. 

EPISOD PENAHANAN & KEMATIAN
Darah pejuang yang mengalir dalam tubuh anak Tualang ini mengundang keperitan dalam perjalanan hidupnya. Seawal sekitar tahun 1928 ketika berada di Turki Dr. B   telah ditahan oleh pihak British kerana terlibat dalam perarakan anti-British menentang Perjanjian Balfour yang berkesudahan dengan pembentukan negara Israel. Pada tahun 1937, beliau dipenjarakan oleh penjajah British kerana menerbitkan majalah Taman Bahagia yang menyebarkan semangat kemerdekaan. Beliau sekali lagi dibenamkan ke dalam jel penjajah British dari tahun 1950-53 kerana memimpin masyarakat Melayu melancarkan perjuangan menentang keputusan mahkamah (kerajaan British) di Singapura dalam kes Natrah.  Tak cukup dengan kebencian British, pada tahun 1964 Dr. B dipenjarakan di Kamunting, Taiping dibawah  Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)  kerana kononya menjadi ejen Indonesia dan terlibat dengan kegiatan menentang penubuhan Malaysia. Walaupun dibebaskan pada 1966, Dr. B masih dibawah tahanan terhad yang menyekat pergerakan bebas beliau untuk meneruskan perjuangan. Penulis masih samar-samar ingatan tentang kesoronokan keluarga dan orang kampong menyambut pembebasan Dr. B tetapi kesoronokan itu hanya sebentar kerana pada tanggal 10 Oktober 1969 beliau kembali kerahmatullah akibat penyakit lelah dan juga kesan seksaan yang diterima semasa dalam tahanan ISA. Al-Fatihah. Marilah sama-sama kita terus doakan agar ruh pejuang anak Tualang ini dicucuri rahmat Illahi dan berada dengan saf para syuhada. Dengan ainul yakin, hakikatnya Dr. B tak pernah terpenjara walau sedetikpun ...... hanya jasad yang dikepong jeruji besi namun jiwanya laksana angin yang menembusi ruang seantero pelusuk bumi – membisikan wadah perjuangan yang tak kenal pudar.

KERANGKA PEMIKIRAN – ANALISIS PELBAGAI PIHAK
Dalam arena politik, Dr. B mendasarkan wadah Islam sebagai landas perjuangan. Beliau adalah sosok pemikir yang terbaik dilahirkan dalam dekadnya, dan penggasas kepada siasah syar‘iyyah dan fiqh awlawiyyat Islam, dan faqih besar dalam mazhab. Pendekatan politiknya adalah berteraskan amalan perlembagaan dan undang-undang, dengan memilih cara aman untuk menuntut perubahan. Dr. B adalah tokoh reformis yang menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi tetap sebagai tokoh yang Islamis.
Ahmad Boestamam menulis tentang kekuatan pengaruh Dr Burhanuddin dan kecekalan perjuangannya: “Di atas segala-galanya, Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran yang tepat, layak dan sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah “Bapak Kebangsaan Melayu” (Ramlah Adam 1993; Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-48).
Menurut penganalisis Dr. B banyak terpengaruh dengan arus pemikiran Islam moden sewaktu menuntut di India – seperti pemikiran Sayyid Ahmad Khan, Jamaluddin al-Afghani, Syed Ameer Ali (1849-1928), Aga Khan, Nehru dan Muhammad Ali Jinnah (pemimpin Islam Pakistan). Beliau juga dikata terpengaruh dengan cara ‘aman’ Mahatma Gandhi menuntut perubahan.
MEGAHNYA pohon TUALANG menjulang LANGIT berpasak DIBUMI – itu Dr. B
Kekanda kita, Almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy mengharungi hidup seorang pejuang bangsa selama lebih kurang 41 tahun (1928-1969). Almarhum yob kita ini telah memimpin pertubuhan-pertubuhan penting seperti KMM (Kesatuan Melayu Muda), KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat-All Malayan Council of Joint Action), dan Persatuan Islam Sa-Tanah Melayu atau Parti Islam se-Malaysia (PAS). Apakah kita generasi muda Tualang tidak boleh berbangga dengan sebutir bintang yang bergermerlapan dalam kegelapan penjajahan tanah air. Ayuh anak-cucu-cicit Tualang ….sematkan semangat dari insan ini ……jadikan ia satu inspirasi bagi perjuangan yang masih belum selesai!...buat arwah kekanda ku ….dengarlah rintihan kalbu waris pusaka moyang Endin: “walaupun jasadmu hancur luluh dimamah zaman namun semangat wadah perjuangan kanda tetap hidup ….. saban hari berdengung membisik ke anak telinga…bila lagi! ..bila lagi! …akan kami kibarkan bendera kemenangan akhir zaman! Itu sumpah janji yang tak boleh dinodai!” 
comments | | Read More...

ANAK TUALANG MENONGKAH KEJAYAAN KEPOLISIAN

Di kala tanah air bertuah ini dibelenggu cengkaman pemberontakan komunis, lahirlah dibumi Tualang seorang bayi yang akan menyahut seruan kepahlawanan.  Tangisan kelahirannya pada tanggal 30 Marikh 1946 hanya diselangkan tujuh purnama selepas tentera Jepun mengibarkan bendera putih menandakan penyerahan kalah dalam episod perang dunia kedua pada Ogos 1945. Tanpa dibayangi seorang ayah yang ditakdirkan menyahut seruan Illahi ketika luka tali pusat masih kemerahan pada hari ke tujuh, bayi ini terus dibesarkan dalam suasana kekalutan darurat yang diistiharkan kerajaan terhadap militan Parti Komunis Malaya. Negara terus berhempas pulas dengan peperangan gerila, diselang seli keriuhan kemenangan dan kesugulan kekalahan – puluhan malahan ratusan perwira terkorban mempertahankan kedaulatan suci ibu pertiwi. Dalam tempuh huru-hara tersebut Zaini Md. Hasim mula menjejakan kaki ke alam persekolahan di Sekolah Melayu Changkat Tualang yang masih berdindingkan buluh dan beratapkan rumbia. Papan batu adalah ibarat komputer riba zaman kotemporari. Selesai darjah lima Zaini beralih ke SMC I di Anglo Chinese School Kampar pada 1957 sebelum berpindah ke Sekolah Rendah Sultan Yussof, Batu Gajah ke standard six sehingga Tingkatan V  pada tahun 1964. Perpindahan ini menurut beliau adalah disebab kesulitan untuk menaiki keretapi dari kota Bahru ke Kampar untuk ke sekolah – sampai sekolah lewat dan balik terpaksa awal sebelum kelas menutup tirai setiap hari. Ketika di Batu Gajah hanya perlu kayuh basikal tak lebih dari 6 batu pergi dan 6 batu (kurang lebih 10 km kiraan zaman sekarang) balik. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran ke Anglo Chinese School Ipoh. Tanggungan persekolahan disara oleh bonda kesayangan, Habibi bt Alang Abdullah (panggilan Wan Bi) dengan menoreh getah. Sempat menjadi guru sementara di Changkat Tin ketika menunggu keputusan SPM/SC  Januari hingga Mac 1965. Darah pahlawan yang mengalir dalam daging anak Tualang ini menyaksikan beliau menyarung uniform polis mulai 1 Jun 1965 ketika negara masih bergelut dengan isu keselamatan. Beban mengembalikan keamanan terletak dibahu anggota keselamatan terumatanya PDRM. Penulis percaya sebagai pegawai polis ketika zaman itu Dato’ Zaini pasti terlibat dalam perancangan dan pengendalian siri-siri operasi menentang kader komunis yang durjana. Anak kepada bekas warder penjara Batu Gajah ini tidak menoleh ke belakang lagi – tetapi terus setia berbakti menjaga keharmonian anak bangsa. Di atas kecemerlangan tugas, beliau miniti pangkat demi pangkat dalam pasukan sehinggalah ke pangkat terakhir sebagai SAC II dengan memegang jawatan Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am sebelum bersara pada tahun 2001. Beliau pernah menjadi Ketua Polis Daerah Johor Baharu dan juga Daerah Muar sebelum bertukar ke negeri bawah bayu itu. Walaupun sibuk bertugas Dato’ Zaini masih gigih memperdalamkan ilmu di dada dan berjaya meraih sekeping Ijazah (Kepujian) dalam Sains Kemasyarakatan dari USM. Sebagai mengiktirafkan pengorbanan Zaini dalam dunia kepolisian, pemerintah telah mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato’ pada 2000.  Hidup berumah tangga Dato’ Zaini ditemani oleh Datin Madzinah bt Mansor yang juga telah bersara sebagai seorang Ketua Jururawat. Pasangan ini telah dikurniakan 3 orang anak dan 8 orang cucu. Anak sulong mereka adalah selebriti popular semasa iatu Dato’ AC Mizal, seorang pelakonpenyanyipengacara dan bekas penyampai radio Era FM.   Sesiapa anak Tualang yang kerinduan Dato’ Zaini bolehlah tenguk-tenguk televisyen selalu kerana iras Dato’ AC Mizal tak tumpah ayahnya.    

– di susun oleh azarae idris             
comments | | Read More...

Sajak Tualang

TUALANG …NAMA MU …NAMA KU JUA

Tualang ….. Kau megah tegak menjulang
Menjunjung langit biru ,
Berbuai intim  bersama awan putih
Kau juga gagah di bumi,
Mencengkam tanah  berbajakan besi
Kau pusaka nenek moyang
Simbiotik ratu lebah di raja
Memerah madu penawar bisa dan sakit
Bukan kerana jampi serapah pawang
Tapi termaktub firman kitabul Illahi
Itu lah kau tualang,
Nama megah yang di abadikan
Kampung tumpah darah tembuni kami
Di situ jugak kelak kami bersemadi
Nama mu ….azimat keramat kami
Buat meredah hidup yang fana

Tinggi dijulang tapi zuhud di bumi.
comments (1) | | Read More...

Sekapor Sireh



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum para pembaca budiman. Semoga dirahmati Allah s.w.t. untuk diri dan keluarga. Tak dilupakan juga semoga semua ruh arwah di Kubur Pedas dicucuri rahmat Allah s.w.t. jua – Al-Fatihah, kita fardhiahkan untuk para penghuni pusara ini – segelintir diantara mereka adalah nenek-moyang kita yang merintis pembukaan kampung ini dan membolehkan kita lahir dan hidup di bumi bertuah Changkat Tualang. Sebenarnya sudah lama terbenam dilubuk hati untuk mendokumentasikan sesuatu mengenai kampung kita agar ia dapat dijadikan rujukan generasi Tualang yang mendatang – bak kata arwah Pak Mat Ali “mencari pencerahan”… Namun tak kesampaian dek ditengah kesibukan hidup yang tak kunjung reda. Walau bagaimanapun selepas seminggu-dua majlis MAPES 1 diadakan, Pengerusinya, saudara Zainuddin (Nai) menalipun saya untuk melapurkan bahawa terdapat sedikit baki wang kutipan dan mereka cadangkan untuk diguna bagi menganjur satu lagi majlis seumpanya sempena hari raya aidil fitri yang akan disambut tak lama lagi. Saya terus ‘bangkang’ kerana kalau terlalu rapat dan kerap majlis seumpama itu diadakan akan mengundang rasa muak dan jemu, Bahasa Inggerisnya barangkali “anti-climax”. Justeru saya mengesyorkan apakata kita laburkan untuk pembikinan satu manuskrip yang dapat menyingkap sejarah dan perjalanan kampung untuk tuntunan semua. Saya tawarkan diri sebagai ketua editor dan berjanji akan mengalas tanggungjawab untuk merencana dan menggerakkan kerja. Saya minta dia bawa usul ini ke mesyuarat “post-mortem” dan syukur Alhamdullillah dipersetujui semua. Pendekkan cerita, setelah kerangka kandungan dibuat, ramai yang ke hadapan membantu. Antaranya cucu arwah Pak Mat Ali (Amirul Hisham) yang datang sendiri ke pejabat saya di UM untuk menyampaikan satu naskhah tulisan datuknya yang amat bernilai untuk anak Tualang. Dari saat itu semangat yang sedang membakar dan terkobar ini seolah dipukul satu lonjakan halus bukan kepada saya seorang tetapi turut dirasai Si Edd (Hanusi Hashim) dan adik saya sendiri, Azali Idris. Edd anak arwah Pak Tam ini terus membuka silat mengkoordinasikan pelbagai tugas: cari bahan, menulis, grafik dll. Beliau turut dibantu oleh yang lain seperti Yeop Idan, Al Hanaz anak Eid (grafik). Bersama menyingkap tabir si Key (Zahari Yunus). Naman Pak Let, Kama Pak Md. Ali, Kama Pak Man, Pot dan Huzaimah Pak Imam Mohammad, Sanggam, Mie Pak Wok dan Othman Shariff (mereka ini membantu dalam mengesan taburan rumah di KCT) . Adik saya pula sibuk merungkai sejarah yang kelam dek diselaputi ketandusan punca. Setelah 2-3 kali berjumpa diantara kami, maka satu jelmaan lembaga Tinta Tualang terbayang di ufuk penerbitan. Akhirnya dengan izin dan kehendak Allah Subhanawataala,  Tinta Tualang bukan jelmaan lagi tetapi satu realiti yang bersusuk segak dan “macho” untuk hidangan halwa mata para pembaca. Bagi anak Tualang yang jauh diperantauan membaca tinta ini boleh mengobat rindu kampong. Bagi semua, kalau kita buta-sejarah, maka sejarah akan menghukum kedangkalan kita dengan kekecewaan hidup. Siapa tahu, sejarah bumi Tualang ini mungkin merahsiakan sesuatu misteri yang masih belum terungkai dan barangkali bermanfaat untuk berlayar di samudera akhir zaman - yang ombaknya menggunung ditiup ribut taufan yang mengganas di bawah naungan awan gelap dan percikkan halilintar yang menggerikan. Di kala itu permata Tualang yang tersinar pada satu ketika dahulu akan berkilauan dan bermergelapan menyinari ruang keimanan dan ketauhidan. Syabas dan terima kasih saya kepada semua yang telah secara langsung atau tak-langsung berbakti untuk merealisasikan warkah ini terutamanya pada Edd, Li dan nama nama yang tersebut di atas tadi.



comments | | Read More...
 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Pengiklanan | Site map
Copyright © 2015. MaPES KCT . All Rights Reserved.
Pereka Website dari makmal blog saya | Sunber Kerangka Template website | Powered by Blogger